Putrajaya Marriott Hotel Review : Pengalaman Menginap, Kemudahan, Harga & Aktiviti Keluarga

Selepas menjalani proses renovasi secara besar-besaran, Putrajaya Marriott Hotel kini kembali sebagai salah satu hotel terbaik di Putrajaya. 


Dengan peningkatan dari segi reka bentuk, kemudahan dan servis, hotel ini semakin menjadi pilihan utama untuk mereka yang mencari penginapan berkualiti tinggi  sama ada untuk percutian keluarga, staycation pasangan, travel kerja, mahupun majlis korporat.

Kedudukannya yang strategik dalam kawasan IOI Resort City, berhampiran IOI City Mall, menjadikan hotel ini sangat mudah diakses dan dekat dengan pelbagai tarikan popular.

Reka Bentuk & Suasana: Hotel 5 Bintang Dengan Sentuhan Mega! 

Seni bina berkonsepkan ‘Modern Palace

Putrajaya Marriott Hotel tampil dengan gaya moden klasik yang menggabungkan elemen mewah dan elegan. Dari jauh, struktur bangunan bertingkat tinggi dengan air pancut di bahagian luar menyambut tetamu bak sebuah istana moden.

Reka bentuk ini bukan sahaja menonjolkan identiti hotel, malah menjadikannya lokasi yang sesuai untuk:

Sesi fotografi pra-perkahwinan,

Gambar keluarga,

Penggambaran korporat,

Konten media sosial yang bertema ‘luxury travel’.

Saya sendiri sempat mengambil beberapa foto rakan yang kagum dengan reka bentuk hotel. Usik beliau, seakan seperti sebuah Taj Mahal

Lobi luas

Masuk sahaja ke lobi, tetamu disambut dengan:

Tona neutral yang menenangkan,

Susun atur elegan dengan banyak tempat duduk,

Tingkap besar yang membenarkan cahaya semula jadi,


Suasananya menenangkan dan memberikan imej premium sebaik melangkah masuk. Tidak mustahil jika saya katakan antara lobi hotel terbesar di Malaysia. 

Tarikan Utama: Kolam Renang Mesra Kanak-Kanak Terbaik di Putrajaya

Jika ada satu perkara yang membuatkan hotel ini sering ‘fully booked’, jawapannya ialah swimming pool mereka antara yang paling besar, paling interaktif dan paling family-friendly di Putrajaya.

Kolam renang ini dilengkapi:

Dua gelongsor air dengan reka bentuk berbeza (termasuk gelong tinggi berbentuk gelung),

Water bucket yang akan menjirus air dari ketinggian,

Water gun yang menjadi kegemaran kanak-kanak,

Kolam cetek yang selamat dan sesuai untuk semua peringkat umur.



Tidak hairan jika ada diantara kenalan saya memberitahu jangan terkejut sekiranya bangun pagi terdengar keriuhan kanak-kanak.

Kawasan rekreasi & aktiviti keluarga lain

Inilah antara sebab Putrajaya Marriott Hotel sangat sesuai sebagai hotel family friendly. Aktiviti lain yang tersedia:

Mini archery

Mini golf

Playground

Badminton

Basikal untuk kanak-kanak

Memberi makanan kepada ikan di kolam berlandskap

Kawasan ini sangat luas, penuh kehijauan dan mempunyai tempat duduk untuk ibu bapa berehat sambil memerhati anak bermain.

Kemudahan gym untuk dewasa


Berhampiran kawasan kolam renang terdapat gym lengkap dan moden, sesuai untuk tetamu yang ingin mengekalkan rutin kecergasan.

Bilik Penginapan: Review Deluxe  2 Twin  (430sqft)

Kemudahan & ciri bilik


Saya berkesempatan untuk menginap selama dua hari satu malam di Deluxe King Room jenis two twin, bilik standard yang paling popular. Ia dilengkapi:

Katil Queen empuk,

Sofa bed & meja kerja,

Drip coffee & pilihan teh,

Iron & ironing board,

TV besar dengan pelbagai saluran,

Sliding window (boleh dibuka atas permintaan),

Internet berkelajuan tinggi.

Kebersihan bilik sangat baik, servis housekeeping cekap dan semua kelengkapan elektrik juga berfungsi dengan baik. Untuk yang muslim, kelengkapan sejadah dan arah kiblat turut disediakan. Malah bantalnya juga tidak mengecewakan kerana saya begitu cerewet perihal bantal di hotel. 

Bilik air moden dan luas

Bahagian bilik air turut meninggalkan impresi positif kerana:

Ada bathtub,

Shower berasingan,

Kelengkapan mandian premium,

Bau shampoo & foam yang menyegarkan,

Tandas moden dengan bidet terbina dalam.





Segalanya direka agar tetamu berasa selesa, terutama bagi yang menginap lebih daripada satu malam.

Pilihan Makanan

Putrajaya Marriott Hotel terkenal dengan variasi makanan, sesuai untuk tetamu yang suka mencuba hidangan berbeza setiap hari.

Zest Lifestyle Restaurant (Breakfast Buffet)

Dikhabarkan hotel ini menyajikan antara buffet sarapan terbaik di Putrajaya. Pelbagai pilihan yang lengkap dan sentiasa segar. Saya sengaja bangun lebih awal dan menjadi antara yang pertama ke restoran ini untuk melihat seperti apa yang dikhabarkan. 

Ternyata ianya benar. Melangkah masuk ke restoran, saya menjadi kagum kerana pilihan menunya seakan jamuan hi tea, meriah! 

Terlalu banyak untuk disenaraikan, namun saya tertarik dengan menu Nasi Ambeng dengan pilihan lauk yang lengkap serta aneka sambal untuk dimakan bersama menu-menu lain. 

Untuk hidangan lain, saya berkesempatan untuk mencuba makanan yang disajikan sempena Hari Natal kelak. Tidak disangkal, menu nya juga meriah dan akan saya kongsikan dalam artikel yang akan datang.

Shuttle Van Percuma

Untuk info pembaca semua, hotel  ini menyediakan shuttle van secara percuma yang bergerak setiap jam ke:

Moxy Putrajaya,

IOI City Mall,

Palm Garden.

Tetamu hanya perlu memaklumkan kaunter concierge dan tunggu di lobi pada waktu yang ditetapkan.

Harga, Keseluruhan Pengalaman & Siapakah Yang Patut Menginap Di Sini?

Harga Penginapan

Deluxe 2 Twin (2H1M)

Tanpa sarapan pagi

Ahli Marriot Bonvoy : RM542

Bukan ahli : RM570

Sekali sarapan pagi 

Ahli Marriot Bonvoy : RM589

Bukan ahli : RM620

Harga mungkin berbeza mengikut tarikh, musim cuti sekolah, dan kadar semasa Marriott.

Adakah berbaloi?

Jawapannya YA, terutama untuk:

Percutian keluarga dengan anak kecil

Staycation hujung minggu

Tetamu yang mahukan pengalaman hotel mewah

Peminat buffet breakfast berkualiti dan pelbagai

Traveler yang mahu akses mudah ke IOI City Mall

Gabungan bilik selesa, kolam renang besar, aktiviti keluarga, restoran premium dan lokasi strategik menjadikan Putrajaya Marriott Hotel sebagai antara hotel paling berbaloi di Putrajaya selepas renovasi.


Comments

INSTAGRAM